BR1M 4.0

Bantuan Rakyat 1 Malaysia atau BR1M 4.0 kini kembali !. Penyerahan akan bermula pada bulan Januari 2015.

Kadar Bayaran

Berikut merupakan kadar bayaran BR1M 2015 bagi mereka yang berkeluarga dan bujang.

Khairat Kematian RM1,000

Skim Khairat Kematian kepada waris penerima BR1M sebanyak RM1,000

Tempoh Penyerahan

Terdapat tiga sesi penyerahan BR1M kepada rakyat iaitu Bulan Januari, Mei dan September 2015.

Hubungi Kami

Hubungi Kami

Friday 28 November 2014

Kempen Tandatangan Salur BR1M Pada Suri Rumah


Wanita PKR menggesa kerajaan meyalurkan sebahagian pemberian BR1M kepada surirumah supaya dapat dimanfaatkan secara langsung daripada pembayaran wang tunai tersebut. 

"Ini sejajar dengan Bajet Responsif Gender di mana wanita diberi kuasa membuat keputusan dalam pengurusan kewangan dalam hal ehwal rumah tangga mereka," kata Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin.

Beliau yang juga ahli Parlimen Ampang berkata, ia sangat penting kerana wanita yang bertanggungjawab memastikan bantuan kewangan itu dibelanja untuk barangan asas rumah yang diperlukan.

Wanita PKR, katanya, akan melancarkan “kempen tandatangan” di seluruh negeri bagi menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak lebih prihatin dalam menjaga kebajikan surirumah dengan menyalurkan BR1M 2015 dikhaskan khususnya kepada surirumah.

"Telah terbukti bahawa wanita bertanggungjawab dan lebih teliti dalam pengurusan belanjawan isi rumah. 

"Dengan itu, surirumah perlu diberi pengiktirafan dalam mengendalikan ekonomi rumah tangga dengan bijak. 

"Ini akan melibatkan perbincangan sihat antara suami dan isteri dan memerlukan konsensi dua pihak dalam membuat keputusan bersama terutama dalam perihal kewangan," katanya dalam satu kenyataan.

Dengan menyalurkan BR1M kepada surirumah, tegas Zuraida, ia memberi peluang dan ruang kepada wanita untuk memainkan peranan secara aktif membangunkan negara serta mendidik anak generasi akan datang.

Sumber :

Sunday 23 November 2014

Saya Sedia Kaji Semula Jika BR1M Tidak Bagus - Dato' Seri Najib Razak


Majoriti rakyat Malaysia masih mahukan Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M), kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, menjawab kritikan pendahulu sebelumnya Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai program itu.

Najib menambah, beliau sedia mengkaji semula bantuan itu namun menurut penelitiannya, masih ramai orang mahukan BR1M, ujarnya dalam wawancara bersama Mingguan Malaysia.

Malah, katanya, ada juga yang mahu jumlahnya ditambah.

“Kalau ramai yang kata BR1M tak bagus, saya bersedia nak kaji semula,” katanya dalam wawancara itu.

“Tetapi ke mana saya pergi pun, orang ramai kata mereka mahukan BR1M, malah mereka mahu ditambah lagi jumlahnya.”

Sumber :
http://www.malaysiakini.com/news/281332

Admin : Kenyataan yang dibuat oleh Dato' Seri Najib Razak ini mendapat respons yang rata-ratanya negatif terutama sekali oleh pengguna Sosial Media seperti Facebook. Admin agak hairan sedangkan Dato' Seri hanya berkata demikian dan mungkin mempunyai maksud yang positif dan jelas rakyat Malaysia tetap inginkan BR1M dilaksanakan seperti tahun-tahun yang lepas kerana ini mampu meringankan beban yang rakyat tanggung.

Mungkin kerana sudah menjadi trend mencaci dan "troll" para pemimpin, bagi pengguna Facebook yang terdiri daripada golongan muda, perkara ini adalah perkara biasa dan bertujuan untuk berhibur. Jika perkara ini berterusan, admin rasa rakyat Malaysia 5 tahun akan datang mempunyai fikiran yang bercelaru dan menggunakan media sosial untuk troll para pemimpin dan ini tidak akan berkesudahan walaupun atas perkara yang dapat memberi manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia itu sendiri.

BR1M: Usah salah erti bantuan kerajaan


Lebih kurang dua bulan sahaja lagi, kira-kira tujuh juta penduduk Malaysia yang berpendapatan rendah dan layak akan menerima manfaat yang diberikan kerajaan iaitu Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Bagaimanapun, bermula 2015, BR1M akan dibayar sebanyak tiga kali seperti mana pengumuman Bajet 2015 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 10 Oktober lalu.

Pada kali pertama, BR1M sebanyak RM300 akan dibayar pada Januari, kedua, juga RM300 pada Mei dan ketiga sebanyak RM350 pada bulan September.

Kepada penerima yang layak, bantuan itu secara tidak langsung amat melegakan dan mengurangkan beban. Malah, dengan rasionalisasi subsidi bahan api yang akan bermula pada tahun depan dan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang memungkinkan harga barangan meningkat, BR1M diyakini dapat mengurangkan impak dalam kalangan berpendapatan rendah.

Besar ertinya bantuan kewangan yang diberikan kerajaan itu yang asalnya hanya diberi sebanyak RM500 pada 2012 manakala pada tahun hadapan, nilai itu meningkat hampir sekali ganda iaitu RM950.
Terpulang kepada rakyat untuk memanfaatkan bantuan tunai tersebut sama ada untuk menjadikannya sebagai wang perbelanjaan dapur atau pun bagi menampung bebanan di bahagian lain. Malah, ada yang menggunakan wang bantuan tersebut untuk membeli gajet-gajet elektronik, pakaian atau aksesori-aksesori kenderaan. Tidak kurang juga ada yang menggunakan wang itu untuk tujuan liburan.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan dalam Seminar Percukaian Kebangsaan baru-baru ini ada menegaskan bahawa pemberian BR1M ini adalah seperti bantuan ikhlas kerajaan untuk mengisi wang dapur masyarakat berpendapatan rendah.

Katanya, pemberian sebanyak tiga kali sepanjang tahun 2015 sekurang-kurangnya dapat menyediakan perbelanjaan wang dapur selama tiga bulan untuk keluarga yang layak.

“Baki sembilan bulan lagi, terpulang kepada ketua isi rumah untuk terus berusaha untuk menampung keperluan keluarga masing-masing.
“Ini membuktikan kerajaan hanya ingin membantu mengurangkan beban dan bukannya mendorong rakyat untuk menjadi malas,” katanya.

BR1M kali pertama diumumkan semasa penjadualan Bajet Malaysia 2012. Langkah itu adalah sebuah polisi yang disasarkan untuk membantu keluarga yang berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan dengan memberikan wang tunai RM500. BR1M pertama diagihkan kepada 4.2 juta isi rumah pada awal tahun 2012.

Sementara dalam Bajet 2013, polisi ini diteruskan dan juga untuk individu yang berumur 21 tahun ke atas yang berpendapatan bulanan sebanyak RM2,000 ke bawah menerima bantuan sebanyak RM250.

Bajet 2014 pula, kerajaan menaikkan jumlah BR1M kepada RM650 manakala individu bujang menerima bantuan sebanyak RM300. Kerajaan turut memperkenalkan perlindungan insurans i-BR1M dengan nilai RM50 untuk penerima bantuan bagi nilai perlindungan maksimum RM30,000 sekiranya berlaku kematian atau hilang upaya kekal menyeluruh.

Semoga dengan BR1M, rakyat dalam kalangan berpendapatan rendah akan dapat terus dibantu dan berpeluang menikmati kesejahteraan hidup dan meneruskan kelangsungan untuk membangunkan ekonomi negara.

Sumber :
http://www.utusan.com.my/bisnes/ekonomi/br1m-usah-salah-erti-bantuan-kerajaan-1.19916

Friday 21 November 2014

Skim Khairat Kematian - Infografik


(INFOGRAFIK) SKIM KHAIRAT KEMATIAN

  • Skim Khairat Kematian akan diberi kepada waris penerima BR1M kategori Isi Rumah dan Warga Emas yang meningal dunia di dalam tempoh 1 Januari 2015 - 31 Disember 2015.
  • Maklumat waris perlu didaftarkan secara dalam talian atau manual (Borang permohonan)
  • Hubungan waris dengan pemohon BR1M adalah terhad kepada suami / isteri / ibu / bapa / anak sahaja

Semua Digesa Bersedia Dengan Kemaskini BR1M 4.0


KUALA LUMPUR: Pemohon baharu Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) diminta membuat permohonan mulai 1 Dis depan manakala penerima sedia apa perlu mengemas kini semula maklumat peribadi bagi memastikan proses bayaran berjalan lancar.

Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata proses permohonan baharu dan pengemaskinian maklumat boleh dibuat melalui portal rasmi BR1M Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) iaitu https://ebr1m.hasil.gov.my/ sehingga 31 Dis.

Proses tersebut juga boleh dibuat dengan menggunakan Borang Permohonan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2015 (BK-01) atau Borang Kemas Kini dan dikembalikan ke mana-mana cawangan/pusat khidmat hasil/Pusat Transformasi Bandar LHDNM atau pejabat daerah.

"Kerajaan telah menghantar surat mulai 1 Nov ini untuk meminta penerima sedia ada mengemas kini maklumat peribadi merangkumi pasangan/tanggungan;alamat terkini untuk memastikan tidak berlaku keciciran semasa proses pengeposan surat.

"...maklumat tepat akaun bank pemohon memandangkan pembayaran BR1M akan dibayar sebanyak tiga kali setahun dan maklumat waris pemohon di bawah kategori isi rumah serta warga emas bagi tujuan pembayaran khairat kematian," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Selain itu, bagi memudahkan penerima sedia ada, kerajaan akan menghantar Borang Kemas Kini mengikut alamat dalam rekod mulai 24 Nov ini.

Pemohon atau penerima yang mempunyai pertanyaan boleh menghubungi talian bebas tol 1800-88-2716 (LHDNM) atau 03-8882 4565/4566 (Kementerian Kewangan) serta emel ke br1m@treasury.gov.my.

Pembayaran BR1M 2015 akan dibayar tiga kali setahun kepada penerima di bawah kategori isi rumah manakala bagi penerima di bawah kategori individu dengan pendapatan RM2,000 ke bawah, bantuan sekali bayaran sebanyak RM350 akan diberi mulai 28 Jan 2015.

Bagi kategori isi rumah dengan pendapatan bulanan RM3,000 ke bawah, nilai BR1M adalah sebanyak RM950 dan bayaran pertama sebanyak RM300 akan dibuat pada 28 Jan, RM300 (28 Mei) dan RM350 (28 Sept).

Bagi isi rumah berpendapatan bulanan RM3,001 hingga RM4,000 nilai BR1M adalah sebanyak RM750 dengan bayaran pertama sebanyak RM200 pada 28 Jan, RM200 (28 Mei) dan RM350 (28 Sept).

"Pembayaran BR1M 2015 secara berperingkat diharap dapat membantu meringankan belanja bulanan dan merancang perbelanjaan isi rumah," katanya.

Ahmad Husni berkata memandangkan masih terdapat ramai penerima yang belum membuat penuaian BR1M 2014, kerajaan telah membuat keputusan untuk melanjutkan tempoh penuaian sehingga 30 Nov 2014.

"Penuaian boleh dilakukan terus di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) seluruh negara dan penerima hanya perlu mengemukakan kad pengenalan asal untuk tujuan pengesahan serta semakan," katanya.

Sementara itu, bagi Skim Perlindungan Berkelompok Rakyat 1Malaysia (i-BR1M), sehingga kini sebanyak 16,540 tuntutan telah diluluskan dan waris boleh membuat tuntutan selewat-lewatnya pada 31 Mac 2015.

Borang tuntutan boleh diperoleh menerusi laman sesawang www.malaysiantakaful.com.my atau menghubungi hotline i-BR1M di talian 03-27152716 atau emel ke i-BR1M@takaful-ikhlas.com.my.

Bantuan BR1M Besar Maknanya Kepada Kami


KUALA LUMPUR - Tiga tahun lalu S Devi, 39, terpaksa menahan airmata setiap kali perayaan Deepavali menjelma, bukan kerana beliau tidak dapat menyambutnya tetapi kerana melihat anak-anak terpaksa menyarung pakaian raya yang sama setiap tahun.

Kesempitan hidup sebagai ibu tunggal, tidak memungkinkan Devi yang bekerja sebagai pembantu rumah harian menyediakan kehidupan yang selesa untuk beliau tiga beranak, apa lagi menyediakan pakaian baharu ketika musim perayaan.

Namun, sejak kerajaan memperkenalkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) pada 2012, Devi mampu mengukir senyuman kerana sudah mampu menyediakan pakaian baharu kepada anak-anaknya seperti ibu bapa lain.

Beliau menyimpan wang BR1M itu untuk digunakan bagi menyambut Deepavali pada tahun lepas.

"BR1M nampak sikit bagi orang yang mampu, tetapi bagi saya, ia amat besar maknanya, sekurangnya anak saya dapat pakai baju raya dan duit harian dapat disimpan untuk kegunaan yang lebih penting dan kecemasan," katanya kepada Bernama.

Bagi suri rumah, Norhayati Mohamad, 47, pula BR1M banyak membantunya terutama untuk membayar bil elektrik dan air.

"Saya menerima BR1M sejak kali pertama ia diperkenalkan dan bersyukur ada bantuan diberikan kerajaan untuk membantu kenaikan kos sara hidup terutama suri rumah seperti saya," katanya.

Selain isi rumah, BR1M juga amat dihargai oleh Mohd Firdaus Ali, 26, seorang belia yang menggunakan bantuan itu untuk perbelanjaan minyak motosikal ke tempat kerja.

"Walaupun ramai yang seolah-olah tidak menghargai BR1M kerana menerima wang percuma, tapi kalau digunakan sebaiknya, ia banyak membantu, contohnya daripada segi perbelanjaan petrol, saya tidak perlu guna duit gaji," katanya yang merupakan kakitangan swasta.

Bajet 2015 menyediakan peruntukan yang lebih untuk BR1M 4.0 dengan peningkatan jumlah bantuan kewangan bagi semua kategori.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2015 di Dewan Rakyat hari ini berkata bagi isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 ke bawah, kerajaan menaikkan bantuan daripada RM650 kepada RM950.

Bagi isi rumah berpendapatan bulanan antara RM3,000 hingga RM4,000 kerajaan akan meningkatkan kadar BR1M daripada RM450 kepada RM750.

Bagi kategori individu bujang berumur 21 tahun ke atas dan berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan pula, kadar BR1M dinaikkan daripada RM300 kepada RM350.

Sementara itu Dekan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata biarpun menerima kritikan daripada banyak pihak, kerajaan tetap meneruskan bantuan itu tanpa mengenal sempadan politik dan kaum.

"Walaupun kritikan dilontar, kerajaan tetap meneruskan pemberian BR1M dan menaikkan lagi jumlahnya setiap tahun dan langkah itu wajar dipuji dalam usaha meringankan bebanan yang terpaksa ditanggung masyarakat," katanya.

Beliau menyifatkan individu yang menerima BR1M dan kemudian mengkritik kerajaan adalah individu yang tidak bijak dan tidak rasional.

"Jika ada yang merasakan BR1M itu tidak bagus, jangan terima langsung bantuan itu kerana menerima sambil mengkritik bukan nilai murni dalam aspek kemanusiaan," katanya.


Tokoh Sejarawan, Negara Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim pula berpandangan peningkatan jumlah bantuan itu adalah wajar namun berharap kerajaan juga memberi perhatian serius terhadap golongan peniaga yang menaikkan harga barang sesuka hati.

"Misalnya jika harga barang terus melambung tinggi, pemberian BR1M seperti tidak akan memberi impak yang besar kepada penerima, jadi pemantauan harga barang harus seiring supaya BR1M dapat benar-benar memenuhi aspirasi kerajaan untuk bantu rakyat," katanya. - Bernama

Thursday 20 November 2014

BR1M Merupakan Agenda Polisi Targeted Assistance


SHAH ALAM – Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menafikan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) membebankan kewangan kerajaan.

“BR1M diperkenalkan untuk membantu rakyat yang layak menerimanya di samping sistem subsidi pukal dikurangkan. Beban kewangan negara tidak meningkat kerana BR1M sebab ada penjimatan  pengurangan polisi subsidi pukal.

“Sistem subsidi pukal di mana semua (tak kira pendapatan) menikmati petrol yang disubsidi perlu perbelanjaan kerajaan yang lebih banding BR1M,” katanya dalam entri di laman Twitter, semalam.

Menurutnya lagi, kerajaan juga sedang mengkaji kaedah lain untuk membantu rakyat.

“BR1M adalah polisi targeted assistance (bantuan yang disasarkan) yang akan ganti blanket subsidies  (subsidi menyeluruh).

"Kerajaan juga sedang kaji kaedah lain seperti fuel card (kad minyak) dan lain-lain,” katanya.

Kelmarin, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam tulisan di blognya menyatakan, pemberian BR1M hanya membebankan kerajaan.

Menurutnya, kerajaan berdepan dengan defisit dan hutang yang besar sekiranya BR1M diteruskan.

“Pemberian RM500 seorang kepada tujuh juta rakyat melibatkan kos RM3.5 bilion. Apabila jumlah ini ditambah kepada RM1,200 kos akan menjadi RM8.4 bilion.

“Itu adalah satu jumlah yang banyak, namun masih ramai orang miskin di negara ini. Adakah kita (kerajaan) memerlukan BR1M (untuk mendapat sokongan) walaupun tanpanya, kita masih mendapat sokongan yang baik daripada masyarakat?” katanya.

BR1M Bukti Kerajaan Mampu Uruskan Ekonomi Dengan Baik


KUALA LUMPUR - Kerajaan berjanji akan menambah baik pemberian BR1M pada tahun depan dan yakin mampu meningkatkan jumlahnya sehingga RM1,200 dalam tempoh lima tahun akan datang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kejayaan BR1M satu, dua dan tiga adalah cerminan dan manifestasi kerajaan untuk membantu rakyat selaras dengan falsafah rakyat didahulukan.

"Ini cara kerajaan untuk berkongsi kekayaan bersama rakyat. Kita dapat lakukan kerana kestabilan politik, dan masyarakat pelbagai kaum dapat hidup aman dan harmoni.

"Negara yang kaya kalau tak aman dan stabil tidak boleh lakukan seperti apa yang kita lakukan hari ini. Faktor lain kerana kerajaan dapat uruskan ekonomi negara walaupun ekonomi dunia tak menentu.

Beliau berharap penambahan nilai BR1M kali ini dapat meringankan beban hidup rakyat khususnya golongan yang tinggal di bandar selain memastikan lebih ramai rakyat menikmati bantuan ini.

Sementara itu, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata sebagai sebuah kerajaan bertanggungjawab, ia perlu melakukan konsolidasi fiskal untuk memacu ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat.

"Oleh itu, kerajaan akan mengubah dasar pemberian subsidi iaitu daripada subsidi pukal kepada subsidi bersasar bagi memastikan pelaksanaan subsidi yang adil," katanya.

Tambah beliau dengan rekonsilasi subsidi juga dapat mengurangkan ketirisan dan mengelak daripada penyalah gunaan daripada pihak yang tidak sepatutnya.

Wednesday 19 November 2014

Penerima Sanggup BR1M Dihentikan Kerana Petrol (Arkib)


KEMAMAN – Kebanyakan penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di daerah ini lebih sanggup bantuan tersebut dihentikan, berbanding harga petrol RON95 dan diesel dinaikkan kerana kenaikan bahan api itu meningkatkan lagi kos sara hidup.

Adnan Mohamad, 45, berkata, kenaikan harga bahan api itu akan menyebabkan peningkatan harga barang dan perkhidmatan, seterusnya menjadikan perbelanjaan harian termasuk keperluan dapur setiap keluarga meningkat.

“Sebagai penerima BR1M, saya akui bantuan ini sangat berguna, namun kalau berjimat sekalipun, bantuan ini bertahan beberapa bulan sahaja.

“Sedangkan kenaikan harga bahan bakar ini pula beri kesan secara menyeluruh, bahkan kalau nilai BR1M dinaikkan lagi sebanyak RM300 seperti diumumkan baru-baru ini, ia tetap tidak setimpal sebab rakyat perlu berhadapan dengan harga barang dan perkhidmatan yang lebih mahal berbanding sebelum ini,” katanya.


Justeru, kata Adnan, jika diberi pilihan, dia lebih sanggup tidak menerima BR1M asalkan kerajaan tidak mengurangkan subsidi bahan bakar itu.

Menurut Mohd Zainal Ramli, 39, pula, langkah kerajaan menaikkan harga petrol dan diesel di saat umat Islam bakal menyambut Aidiladha beberapa hari sahaja lagi, menunjukkan kerajaan tidak bertimbang rasa.

“Apa gunanya kerajaan laungkan slogan 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' kalau tindakan diambil langsung tidak selari umpama cakap tak serupa bikin? Rakyat marhaen mohon pimpinan negara turun sendiri ke peringkat bawah dan cuba hidup sebagai ‘orang biasa’ selama sehari.

“Hapuskanlah BR1M kalau begini cara kerajaan ambil semula bantuan ditabur itu. Saya penyokong Umno dan BN, tapi sangat kecewa dengan tindakan menaikkan harga RON95 dan diesel sebanyak 20 sen ini kerana kerajaan mempunyai pilihan lain, selain daripada kurangkan subsidi bahan bakar ini,” katanya.

Bagaimanapun, seorang penerima BR1M, Che Wan Zawawi Che Wan Jusoh, 49, tidak bersetuju bantuan itu dihentikan, sebaliknya dia menyarankan agar kerajaan mengurangkan subsidi barang kawalan lain.

BR1M Bukan Rasuah - Ahmad Maslan


Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebenarnya adalah aku janji Barisan Nasional (BN) dalam manifesto pilihan raya untuk dilaksanakan bermula tahun 2014 sehingga 2018, kataTimbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan.

Sehubungan itu, katanya, aku janji itu tidak boleh ditarik balik dan perlu diteruskan.

"...dan kita juga berjanji bukan hanya untuk meneruskan bayaran BR1M ini selama lima tahun tetapi meningkatkan bayarannya dari setahun ke setahun, sehinggalah RM1,200 pada tahun yang kelima. Sekarang ini sampai ke RM950 untuk tahun 2015," jelas beliau.


Ahmad, yang juga Ketua Penerangan Umno, ditemui pemberita selepas merasmikan Konvensyen Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Telekomunikasi Semenanjung Malaysia dan taklimat CBP untuk kakitangan TM di sini, pada Ahad.

Katanya semasa Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri, kaedah beliau untuk menggerakkan sektor ekonomi ialah dengan memberi rangsangan projek kepada kontraktor kelas F pada ketika itu.

Beliau berkata kaedah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjana ekonomi pula ialah dengan memberi bantuan kepada rakyat dan rantaian ekonomi yang memberi kesan berganda.

"Jadi, BR1M bukan rasuah seperti dakwaan sesetengah pihak. Kalau rasuah kita hanya beri sekali sebelum pilihan raya.....yang ini kita beri setiap tahun," katanya.

Sumber :
http://www.astroawani.com/news/show/br1m-terkandung-dalam-manifesto-pilihan-raya-bn-ahmad-maslan-48536


Tuesday 18 November 2014

Orang Asli Berharap BR1M Diagihkan Melalui Baucer

Gambar Sekadar Hiasan
GUA MUSANG – Masyarakat Orang Asli di kawasan pedalaman daerah ini berharap pihak kerajaan dapat mengagihkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 4.0 secara baucar tunai tanpa melalui perkhidmatan perbankan. 

Pembayaran tunai tersebut lebih memudahkan kerana mereka terpaksa menempuh perjalanan yang jauh memakan masa lebih tiga jam untuk ke bandar semata-mata untuk mengambil wang tersebut. Ketua Kampung Pos Tuel, Halim Sharif berkata, pihaknya mencadangkan supaya wang bantuan itu disalurkan melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

“Kami tidak mahu keadaan seperti tahun lalu berulang apabila seramai 1,500 orang penduduk Orang Asli di daerah ini gagal me­ne­rima BR1M 3.0 pada waktu sepatutnya kerana lambat membuka akaun bank.

“Kebanyakan orang tua yang sakit dan uzur tidak mampu keluar ke bandar kerana pergerakan mereka terbatas.

“Ada juga penduduk yang tidak mempunyai kenderaan serta terpaksa menumpang jiran terdekat dan kita melihat itu sebagai kesulitan untuk mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pembayaran BR1M sebanyak RM950 pada tahun depan akan dibuat sebanyak tiga kali iaitu pada bulan Januari, Mei dan September. Sementara itu, seorang penduduk, Ishak Ronggeng, 35, dari Kampung Panir, Pos Tuel berkata, mereka memilih baucar tunai kerana tidak mahu bersesak-sesak de­ngan orang ramai di bank.


“Pada tahun lepas kami berasa hampa kerana terpaksa menunggu dari pagi hingga petang dan perlu beberapa kali keluar ke bandar untuk mengambil wang di bank,” katanya.

Anisah Halim, 21, seorang pembantu tabika pula berkata, mereka berasa tidak berbaloi kerana terpaksa menanggung perbelanjaan yang tinggi kerana terpaksa berulang-alik ke bandar.

“Kami terpaksa mengeluarkan kos lebih untuk mengisi minyak kenderaan dan adakalanya kami juga terpaksa berdepan dengan kerosakan tayar motosikal dan kenderaan kerana jalan tidak begitu sempurna,” katanya.

BR1M : Kesan Positif Berganda Kepada Rakyat


Pakar-pakar ekonomi menyifatkan penambahan kadar Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak RM300 dalam Bajet 2015 dapat mewujudkan kesan positif berganda kepada rakyat dan negara yang membolehkan rakyat berpendapatan rendah meningkatkan perbelanjaan masing-masing.

Pengarah dan Ketua Serantau Pasaran Modal Ekuiti RHB Investment Bank, Gan Kim Choon berkata, perbelanjaan rakyat amat membantu dalam memacu ekonomi kerana langkah itu menjana pertumbuhan perniagaan domestik. Malah katanya, BR1M dapat merangsang ekonomi dalam jangka masa panjang.

“Golongan berpendapatan rendah akan mendapat manfaat yang sangat optimum daripada peningkatan BR1M ini dan mereka perlu berbelanja,” katanya semasa menjadi panel Seminar Delloite TaxMax 2014 di sini hari ini.

Bajet 2015 diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 10 Oktober lalu bertema ekonomi keperluan rakyat yang merangkumi pemberian BR1M ditingkatkan daripada RM650 kepada RM950 bagi isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 ke bawah. Kerajaan turut menaikkan kadar BR1M bagi isi rumah berpendapatan bulanan antara RM3,000 hingga RM4,000 daripada RM450 kepada RM750.

Kim Choon berkata, pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) bermula tahun depan tidak akan memberi apa-apa kesan drastik kepada rakyat secara keseluruhannya. Katanya, rakyat tidak akan terasa dengan peningkatan harga barangan yang secara puratanya masih lagi mampu bagi golongan berpendapatan rendah. Menurut beliau, kerajaan turut menyenaraikan panjang jenis-jenis barangan yang tidak dikenakan GST.

“Sebanyak 900 jenis barangan yang kadar sifar dan dikecualikan GST amat memberikan kelegaan kepada rakyat terutamanya kepada golongan berpendapatan rendah.

“Pasaran ekuiti juga tidak akan berubah dengan pelaksanaan GST kerana hal itu sudah banyak kali diumumkan oleh kerajaan,” ujarnya.

Sumber :

Monday 17 November 2014

Senarai Bank Yang Boleh Menerima BR1M


Berikut adalah senarai bank yang boleh menerima BR1M 4.0 : 

01-Affin Bank Berhad
02-Agro Bank
03-Alliance Bank Malaysia Berhad
04-AmBank Berhad
05-Al Rajhi Banking & Investment Corporation
06-Bank Islam Malaysia
07-Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd
08-Bank Muamalat Malaysia Bhd
09-Bank of America Malaysia Berhad
10-Bank of Tokyo-Mitsubishi UFJ
11-Bank Simpanan Nasional
12-Cimb Bank Berhad
13-Citibank Berhad
14-Deutsche Bank (Malaysia) Berhad
15-Eon Bank Berhad
16-Hong Leong Bank
17-HSBC Bank Malaysia Bhd
18-J.P Morgan Chase Bank Bhd
19-Kuwait Finance House Malaysia Bhd
20-Malayan Banking Berhad (Maybank)
21-OCBC Al-Amin Bank Bhd/OCBC Bank
22-Public Bank Berhad/Public Islamic Bank Berhad
23-RHB Bank Berhad
24-Standard Chartered Bank Malaysia Bhd
25-Sumitomo Mitsui Banking Corporation
26-The Royal Bank of Scotland
27-United Overseas Bank (Malaysia) Berhad

Sumber :

Setuju Cadangan Beri BR1M Pada Hari Lahir


SABAK BERNAM - Rata-rata penduduk setuju berhubung cadangan yang mengesyorkan kerajaan agar memberi Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) semasa sambutan hari lahir setiap penerima bantuan terbabit.

Penduduk, Jahro Latifan, 67, berkata, cadangan itu disifatkannya sebagai langkah ke hadapan dalam usaha mengurangkan pelbagai masalah yang berlaku apabila pemberian BR1M dijalankan serentak diseluruh negara.

Menurutnya, meskipun pengagihan BR1M turut dijalankan mengikut fasa yang ditetapkan, namun didapati masih ramai yang keliru dan situasi itu perlu diatasi segera agar pemberian bantuan itu lebih lancar.

"Pakcik setuju dengan cadangan itu sebab tak perlu menunggu bila nak dapat BR1M. Bila tiba hari jadi, duit terus bagi kepada penerima," katanya.

Bagaimanapun, Jahro berkata, bagi warga emas sepertinya, dia berharap agar kerajaan yang ketika ini mengkreditkan pemberian BR1M melalui akaun bank atau melalui baucer tunai meneruskan proses terbabit.

"Tapi kalau beri BR1M ikut hari jadi, jangan pula bagi duit dalam akaun. Orang tua macam pakcik tak ada buku akaun, nak cucuk duit pun tak pandai," katanya.

Penerima, Abdul Malik Dzyanti, 50, berkata, cadangan itu jika dilaksanakan mengurangkan tekanan kepada penerima yang selama ini menunggu pengumuman kerajaan mengenai pemberian kewangan terbabit.

"Kalau ikutkan, sebelum ini kita tunggu-tunggu pengumuman kerajaan tentang BR1M, jadi kalau ikut tarikh lahir, pakcik rasa tak timbul masalah menunggu," katanya.

Remaja, Hidayah Sarman, 21, berkata, pemberian BR1M pada hari lahir penerima dianggap satu cadangan yang baik dalam menanggani masalah penerima BR1M hingga ada dikalangan mereka terpaksa mengambil cuti. 

Sementara Bainah Abdullah, 47, berkata pemberian BR1M mengikut tarikh lahir memudahkan penduduk merancang perbelanjaan secara berhemah dan tidak boros.

"Ia juga didik kita untuk jimat cermat dan simpan wang untuk belanja sekolah anak-anak," katanya.

Kelmarin Sinar Harian melaporkan, kerajaan disyorkan supaya memberi BR1M mengikut tarikh lahir penduduk pada masa akan datang bagi melancarkan proses pengagihan bantuan berkenaan.

ADUN Sungai Panjang, Budiman Mohd Zuhdi berkata, bantuan itu perlu dikreditkan terus ke dalam akaun bank penerima atau boleh dituntut di Pejabat UMNO bahagian masing-masing.

Menurutnya, pemberian itu juga disifatkan sebagai "hadiah" istimewa kerajaan Malaysia kepada rakyat di negara ini bagi meraikan tarikh lahir mereka yang layak menerima bantuan terbabit.

Sumber :
- Sinar Harian

Penerima BR1M Digesa Buka Akaun Bank


IPOH – Penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) digesa membuka akaun bank serta mengemas kini nombor akaun dengan pihak berkaitan bagi mempercepatkan penyaluran bantuan itu di masa depan.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, daripada 6.4 juta pemohon BR1M di seluruh negara, seramai dua juta daripada mereka tiada akaun bank dan diberikan baucar bantuan.

Menurutnya, langkah ini bertujuan supaya penerima BR1M yang memiliki akaun bank tidak lagi perlu beratur panjang menerima bantuan kewangan itu yang akan disalurkan kepada akaun bank mereka menerusi tiga kali pembayaran.

“Kementerian berharap mereka yang masih belum membuka akaun supaya berbuat demikian bagi memudahkan pembayaran dilakukan tanpa majlis penyampaian seperti sebelum ini.

“Kita sasarkan kira-kira 7 juta pemohon mendapat manfaat daripada BR1M dan bila sudah ada akaun bank, bayaran RM950 dapat disalurkan kepada mereka dengan lancar,” katanya pada sidang akhbar di sini, semalam.

Beliau sebelum itu merasmikan penutupan Program Satu Komuniti 1JPJ di Sekolah Kebangsaan Pakatan Jaya, di Ulu Kinta, dekat Tambun.

BRIM 4.0 yang diumumkan semasa Bajet 2015 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melibatkan pembayaran RM950 bagi isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah, RM750 bagi isi rumah berpendapatan dari RM3,000 hingga RM4,000 sementara bujang berpendapatan di bawah RM2,000 menerima RM350.

Sumber :

Sunday 16 November 2014

Kadar Bayaran BR1M 4.0 (Infografik)


1. Pendapatan Isi Rumah dibawah RM3,000 = RM950
Bayaran ansuran sebanyak tiga kali setahun iaitu RM300 akan dibayar pada Januari dan Mei, manakala bakinya sebanyak RM350 dibayar mulai September 2015.

2. Pendapatan Isi rumah bulanan antara RM3,000 hingga RM4,000 = RM750
Ansuran RM200 akan dibayar pada Januari dan Mei, manakala bakinya sebanyak RM350 juga akan dibayar mulai September.

3. Individu Bujang 21 tahun ke atas dan berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan = RM350
Kadar BRIM 4.0 dinaikkan daripada RM300 kepada RM350. Bantuan akan dibayar sekali gus pada bulan Januari 2015.

Surat Arahan Kemaskini Maklumat Pemohon BR1M 4.0



Tuan / Puan,

BR1M 2015 : KEMASKINI MAKLUMAT PEMOHON

Dengan segala hormatnya merujuk kepada perkara di atas.

2.   Dimaklumkan bahawa pendaftaran BR1M 2015 akan bermula pada 1 Disember 2014. Bagi memastikan permohonan BR1M tuan / puan dapat diproses dengan sempurna, sukacita diminta untuk mengemaskini semula maklumat peribadi seperti berikut :

i- Maklumat pasangan / tanggungan;
ii- Alamat terkini pemohon bagi memastikan tiada keciciran semasa proses pengeposan surat;
iii- Maklumat akaun bank pemohon. Untuk makluman, pembayaran BR1M 2015 akan dibayar sebanyak 3 kali setahun. Justeru itu, tuan / puan dinasihatkan agar dapat mengemukakan maklumat akaun bank yang tepat bagi memastikan bayaran dapat disalurkan terus ke akaun bank tuan / puan. Senarai bank yang dibenarkan adalah seperti dilampiran; dan
iv- Untuk makluman, penerima BR1M 2015 di bawah kategori isi rumah dan warga emas adalah layak dipertimbangkan untuk menerima Skim Khairat Kematian. Oleh itu, pemohon di bawah kategori isi rumah dan warga emas diminta untuk mengemukakan maklumat waris bagi tujuan pembayaran khairat kematian.

3.   Pemohon boleh mengemaskini maklumat tersebut mulai 1 Disember 2014 sehingga 31 Disember 2014 melalui Portal Rasmi BR1M LHDNM di alamat https://ebr1m.hasil.gov.my atau dengan menggunakan Borang Permohonan Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) 2015 (BK-01) dan dikembalikan ke mana-mana Cawangan / Pusat Khidmat Hasil / UTC LHDNM.

4.   Kegagalan tuan / puan mengemaskini maklumat di atas akan menyebabkan permohonan tuan / puan tidak diproses. Sebarang pertanyaan, sila hubungi talian bebas tol 1-800-88-2716 (LHDNM) atau talian 03-8882 4566 (Kementerian Kewangan Malaysia).

Sekian, Terima Kasih.

"BERKHIDMAT UNTUK NEGARA"

Kementerian Kewangan Malaysia

Tarikh Kemaskini BR1M 4.0 Secara Online Atau Manual


Surat arahan kemaskini BRIM bagi pemohon yang pernah menerima dan telah mendaftar BR1M akan dihantar ke alamat rumah anda. Oleh itu, penerima BR1M sedia ada tidak perlu mendaftar lagi namun hanya perlu mengemas kini maklumat peribadi termasuk alamat, maklumat anggota keluarga dan akaun bank.

Kegagalan pemohon untuk mengemaskini maklumat BRIM akan menyebabkan kesukaran untuk proses pembayaran BR1M. Bagi pemohon baru, pengguna boleh mendaftar secara dalam talian (Online) atau secara manual dengan mengisi borang permohonan BR1M 2015 secara percuma.

Kemaskini Borang Permohonan BR1M 4.0 Tahun 2015 Online :
http://www.hasil.gov.my/
https://ebr1m.hasil.gov.my/
http://www.treasury.gov.my/

Info Penting : 
Kemaskini BRIM 4.0 tahun 2015 akan dibuka mulai 1 Disember 2014 sehingga 31 Disember 2014. Penerima BR1M sedia ada tidak perlu mendaftar lagi, tetapi perlu mengemas kini maklumat peribadi termasuk alamat, maklumat anggota keluarga dan akaun bank.

Sumber :
http://www.melvister.com/2014/11/kemaskini-br1m-2015-bantuan-rakyat-1malaysia-4-0-online.html

Saturday 15 November 2014

Tidak terima BR1M namun tetap dapat PTPTN


KUALA LUMPUR: Orang ramai yang tidak menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) diminta tidak risau dengan pengurangan pembiayaan baharu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang diumum 1 November lepas. 

Pengerusi PTPTN, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, pinjaman tetap diterima walaupun pendapatan isi rumah sesebuah keluarga melebihi RM8,000 sebulan. "Kita beri 75 peratus kadar PTPTN kepada peminjam atau ibu bapa yang mempunyai pendapatan bulanan bawah RM8,000. "Bagi yang melebihi RM8,000 pula, pinjaman sebanyak 50 peratus daripada jumlah keseluruhan akan diberi," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. Shamsul mengulas pertanyaan melihat kemampuan golongan yang tidak menerima BR1M dalam membiayai anak untuk ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) atau Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

Sebelum ini, Ketua Pegawai Pemasaran dan Perhubungan Strategik PTPTN Mastura Mohd Khalid mengumumkan pengurangan pembiayaan baharu PTPTN untuk pelajar IPTA dikurangkan lima peratus dan 15 peratus untuk pelajar IPTS. Bagaimanapun, jumlah pembiayaan pelajar ijazah Sarjana Muda Perubatan di IPTS dikekalkan dan tidak mengalami sebarang pengurangan kerana yuran pengajiannya yang tinggi. Dalam pada itu kata Shamsul, terma baru itu sebenarnya penambahbaikan daripada syarat lama sebelum ini.

"Ada kebaikan daripada dahulu, sebelum ini hanya pembayaran yuran kepada mereka yang mempunyai pendapatan lebih RM5,000.

"Apa yang penting, tidak terima BR1M namun tetap dapat PTPTN," ujarnya.

Ujarnya, data BR1M digunakan sepenuhnya untuk rujukan maklumat pendapatan pemohon PTPTN.

"Kita jadikannya pengukur, ia dapat mengelakkan mereka yang sebenarnya mampu tetapi masih memohon PTPTN penuh," jelasnya.

Sebelum ini, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad menyelar tindakan pengurangan pembiayaan PTPTN itu dengan alasan tidak wajar ketika rakyat berhadapan tekanan kewangan. Katanya, akses pendidikan kini dilihat bukan satu kemewahan sebaliknya menjadi satu keperluan.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan sebelum ini memberitahu, lebih 500,000 peminjam PTPTN sehingga kini masih liat membayar balik pinjaman masing-masing walaupun pelbagai usaha sudah dilakukan oleh kerajaan.

Sumber :


2 Juta Penerima BR1M Belum Memiliki Akaun Bank


PONTIAN: Kira-kira dua juta daripada tujuh juta penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tahun ini masih tidak memiliki akaun bank, menyukarkan bantuan itu disalurkan terus kepada mereka, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan. Ahmad berharap mereka yang masih belum membuka akaun bank supaya berbuat demikian dengan segera supaya bayaran BR1M tahun depan sebanyak RM950 dapat disalurkan kepada mereka dengan lancar.

"Selepas membuka akaun, mereka boleh menyerahkan maklumat terbabit kepada penghulu, ketua kampung atau pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terdekat supaya kita (Kementerian Kewangan) boleh mengemas kini data," katanya kepada Bernama di Kampung Parit Datuk Onn, baru-baru ini.

Katanya mereka yang masih belum membuka akaun bank boleh berbuat demikian di cawangan atau ejen Bank Simpanan Nasional (BSN), Maybank atau CIMB. Menurut Ahmad, penerima BR1M yang memiliki akaun bank tidak lagi perlu beratur panjang untuk menerima bantuan kewangan itu yang akan disalurkan kepada akaun bank mereka menerusi tiga kali pembayaran.

Fasa pertama pembayaran BR1M akan dilakukan pada Jan tahun depan sebanyak RM300, katanya. Ahmad berkata pemberian BR1M bertujuan untuk meringankan beban kos sara hidup rakyat seperti pembelian barangan keperluan dapur dan bukannnya untuk membayar hutang kenderaan dan lain-lain.

"Jikalau perbelanjaan dapur bulanan satu isi rumah itu secara puratanya adalah sebanyak RM300, BR1M dapat menampung selama tiga bulan perbelanjaan dapur isi rumah terbabit," katanya. Bagi isi rumah yang mempunyai pendapatan bulanan antara RM3,000 dan RM4,000 dengan purata perbelanjaan dapur sebanyak RM400 sebulan, BR1M itu mampu menampung dua bulan perbelanjaan dapur mereka, katanya. "BR1M bertujuan untuk meringankan bebanan kos sara hidup rakyat," katanya.

Sumber :

Admin : 2 juta akaun merupakan jumlah yang besar dan boleh menyebabkan kerumitan berlaku ketika penyerahan BR1M pada tahun hadapan. Admin berharap bagi mereka yang belum mempunyai akaun bank, sila lakukan seawal mungkin sebelum pihak BR1M membuka semakan atau pengisian borang secara online atau manual. Jika anda lewat, mungkin nama anda akan tercicir dari senarai penerima BR1M sama ada untuk bulan Januari, Mei atau September 2015 nanti.

Makluman Permohonan Online BRIM 4.0


Permohonan Online BRIM 4.0 tahun 2015 akan dibuka pada minggu kedua bulan Disember 2014. Penerima BR1M sedia ada tidak perlu mendaftar lagi, tetapi perlu mengemas kini maklumat peribadi termasuk alamat, maklumat anggota keluarga dan akaun bank.

Bagi pemohon baru, pengguna boleh mendaftar secara dalam talian (Online) atau secara manual dengan mengisi borang permohonan BR1M 2015 secara percuma.Kadar Bayaran BRIM 4.0 Tahun 2015

1. Pendapatan Isi Rumah dibawah RM3,000 = RM950
Bayaran ansuran sebanyak tiga kali setahun iaitu RM300 akan dibayar pada Januari dan Mei, manakala bakinya sebanyak RM350 dibayar mulai September 2015.

2. Pendapatan Isi rumah bulanan antara RM3,000 hingga RM4,000 = RM750
Ansuran RM200 akan dibayar pada Januari dan Mei, manakala bakinya sebanyak RM350 juga akan dibayar mulai September.

3. Individu Bujang 21 tahun ke atas dan berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan = RM350
Kadar BRIM 4.0 dinaikkan daripada RM300 kepada RM350. Bantuan akan dibayar sekali gus pada bulan Januari 2015.

Syarat Kelayakan BR1M 4.0 Tahun 2015 :
  • Warganegara Malaysia
  • Berumur 21 Tahun Ke atas
  • Isi Rumah Berpendapatan Bulanan RM3,000 dan Kebawah
  • Isi Rumah Berpendapatan Bulanan RM3,000- RM4,000
  • Individu Bujang 21 tahun keatas yang Bekerja dan Berpendapatan Bulanan RM2,000 dan kebawah
  • Skim Khairat Kematian RM1,000
Kerajaan juga akan menggantikan skim insurans takaful berkelompok (i-BR1M) yang telah diperkenalkan sebelum ini kepada Skim Khairat Kematian yang akan memberi manfaat kepada waris penerima BR1M dengan bantuan RM1,000 yang akan berkuat kuasa selama setahun.

Borang Permohonan Secara Online BR1M 4.0 :