Hubungi Kami

Hubungi Kami

Monday 17 November 2014

Setuju Cadangan Beri BR1M Pada Hari Lahir


SABAK BERNAM - Rata-rata penduduk setuju berhubung cadangan yang mengesyorkan kerajaan agar memberi Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) semasa sambutan hari lahir setiap penerima bantuan terbabit.

Penduduk, Jahro Latifan, 67, berkata, cadangan itu disifatkannya sebagai langkah ke hadapan dalam usaha mengurangkan pelbagai masalah yang berlaku apabila pemberian BR1M dijalankan serentak diseluruh negara.

Menurutnya, meskipun pengagihan BR1M turut dijalankan mengikut fasa yang ditetapkan, namun didapati masih ramai yang keliru dan situasi itu perlu diatasi segera agar pemberian bantuan itu lebih lancar.

"Pakcik setuju dengan cadangan itu sebab tak perlu menunggu bila nak dapat BR1M. Bila tiba hari jadi, duit terus bagi kepada penerima," katanya.

Bagaimanapun, Jahro berkata, bagi warga emas sepertinya, dia berharap agar kerajaan yang ketika ini mengkreditkan pemberian BR1M melalui akaun bank atau melalui baucer tunai meneruskan proses terbabit.

"Tapi kalau beri BR1M ikut hari jadi, jangan pula bagi duit dalam akaun. Orang tua macam pakcik tak ada buku akaun, nak cucuk duit pun tak pandai," katanya.

Penerima, Abdul Malik Dzyanti, 50, berkata, cadangan itu jika dilaksanakan mengurangkan tekanan kepada penerima yang selama ini menunggu pengumuman kerajaan mengenai pemberian kewangan terbabit.

"Kalau ikutkan, sebelum ini kita tunggu-tunggu pengumuman kerajaan tentang BR1M, jadi kalau ikut tarikh lahir, pakcik rasa tak timbul masalah menunggu," katanya.

Remaja, Hidayah Sarman, 21, berkata, pemberian BR1M pada hari lahir penerima dianggap satu cadangan yang baik dalam menanggani masalah penerima BR1M hingga ada dikalangan mereka terpaksa mengambil cuti. 

Sementara Bainah Abdullah, 47, berkata pemberian BR1M mengikut tarikh lahir memudahkan penduduk merancang perbelanjaan secara berhemah dan tidak boros.

"Ia juga didik kita untuk jimat cermat dan simpan wang untuk belanja sekolah anak-anak," katanya.

Kelmarin Sinar Harian melaporkan, kerajaan disyorkan supaya memberi BR1M mengikut tarikh lahir penduduk pada masa akan datang bagi melancarkan proses pengagihan bantuan berkenaan.

ADUN Sungai Panjang, Budiman Mohd Zuhdi berkata, bantuan itu perlu dikreditkan terus ke dalam akaun bank penerima atau boleh dituntut di Pejabat UMNO bahagian masing-masing.

Menurutnya, pemberian itu juga disifatkan sebagai "hadiah" istimewa kerajaan Malaysia kepada rakyat di negara ini bagi meraikan tarikh lahir mereka yang layak menerima bantuan terbabit.

Sumber :
- Sinar Harian

0 comments:

Post a Comment