Hubungi Kami

Hubungi Kami

Saturday 15 November 2014

Tidak terima BR1M namun tetap dapat PTPTN


KUALA LUMPUR: Orang ramai yang tidak menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) diminta tidak risau dengan pengurangan pembiayaan baharu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang diumum 1 November lepas. 

Pengerusi PTPTN, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, pinjaman tetap diterima walaupun pendapatan isi rumah sesebuah keluarga melebihi RM8,000 sebulan. "Kita beri 75 peratus kadar PTPTN kepada peminjam atau ibu bapa yang mempunyai pendapatan bulanan bawah RM8,000. "Bagi yang melebihi RM8,000 pula, pinjaman sebanyak 50 peratus daripada jumlah keseluruhan akan diberi," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. Shamsul mengulas pertanyaan melihat kemampuan golongan yang tidak menerima BR1M dalam membiayai anak untuk ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) atau Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

Sebelum ini, Ketua Pegawai Pemasaran dan Perhubungan Strategik PTPTN Mastura Mohd Khalid mengumumkan pengurangan pembiayaan baharu PTPTN untuk pelajar IPTA dikurangkan lima peratus dan 15 peratus untuk pelajar IPTS. Bagaimanapun, jumlah pembiayaan pelajar ijazah Sarjana Muda Perubatan di IPTS dikekalkan dan tidak mengalami sebarang pengurangan kerana yuran pengajiannya yang tinggi. Dalam pada itu kata Shamsul, terma baru itu sebenarnya penambahbaikan daripada syarat lama sebelum ini.

"Ada kebaikan daripada dahulu, sebelum ini hanya pembayaran yuran kepada mereka yang mempunyai pendapatan lebih RM5,000.

"Apa yang penting, tidak terima BR1M namun tetap dapat PTPTN," ujarnya.

Ujarnya, data BR1M digunakan sepenuhnya untuk rujukan maklumat pendapatan pemohon PTPTN.

"Kita jadikannya pengukur, ia dapat mengelakkan mereka yang sebenarnya mampu tetapi masih memohon PTPTN penuh," jelasnya.

Sebelum ini, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad menyelar tindakan pengurangan pembiayaan PTPTN itu dengan alasan tidak wajar ketika rakyat berhadapan tekanan kewangan. Katanya, akses pendidikan kini dilihat bukan satu kemewahan sebaliknya menjadi satu keperluan.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan sebelum ini memberitahu, lebih 500,000 peminjam PTPTN sehingga kini masih liat membayar balik pinjaman masing-masing walaupun pelbagai usaha sudah dilakukan oleh kerajaan.

Sumber :


0 comments:

Post a Comment