Hubungi Kami

Hubungi Kami

Tuesday 18 November 2014

Orang Asli Berharap BR1M Diagihkan Melalui Baucer

Gambar Sekadar Hiasan
GUA MUSANG – Masyarakat Orang Asli di kawasan pedalaman daerah ini berharap pihak kerajaan dapat mengagihkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 4.0 secara baucar tunai tanpa melalui perkhidmatan perbankan. 

Pembayaran tunai tersebut lebih memudahkan kerana mereka terpaksa menempuh perjalanan yang jauh memakan masa lebih tiga jam untuk ke bandar semata-mata untuk mengambil wang tersebut. Ketua Kampung Pos Tuel, Halim Sharif berkata, pihaknya mencadangkan supaya wang bantuan itu disalurkan melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

“Kami tidak mahu keadaan seperti tahun lalu berulang apabila seramai 1,500 orang penduduk Orang Asli di daerah ini gagal me­ne­rima BR1M 3.0 pada waktu sepatutnya kerana lambat membuka akaun bank.

“Kebanyakan orang tua yang sakit dan uzur tidak mampu keluar ke bandar kerana pergerakan mereka terbatas.

“Ada juga penduduk yang tidak mempunyai kenderaan serta terpaksa menumpang jiran terdekat dan kita melihat itu sebagai kesulitan untuk mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pembayaran BR1M sebanyak RM950 pada tahun depan akan dibuat sebanyak tiga kali iaitu pada bulan Januari, Mei dan September. Sementara itu, seorang penduduk, Ishak Ronggeng, 35, dari Kampung Panir, Pos Tuel berkata, mereka memilih baucar tunai kerana tidak mahu bersesak-sesak de­ngan orang ramai di bank.


“Pada tahun lepas kami berasa hampa kerana terpaksa menunggu dari pagi hingga petang dan perlu beberapa kali keluar ke bandar untuk mengambil wang di bank,” katanya.

Anisah Halim, 21, seorang pembantu tabika pula berkata, mereka berasa tidak berbaloi kerana terpaksa menanggung perbelanjaan yang tinggi kerana terpaksa berulang-alik ke bandar.

“Kami terpaksa mengeluarkan kos lebih untuk mengisi minyak kenderaan dan adakalanya kami juga terpaksa berdepan dengan kerosakan tayar motosikal dan kenderaan kerana jalan tidak begitu sempurna,” katanya.

0 comments:

Post a Comment