Hubungi Kami

Hubungi Kami

Sunday 23 November 2014

BR1M: Usah salah erti bantuan kerajaan


Lebih kurang dua bulan sahaja lagi, kira-kira tujuh juta penduduk Malaysia yang berpendapatan rendah dan layak akan menerima manfaat yang diberikan kerajaan iaitu Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Bagaimanapun, bermula 2015, BR1M akan dibayar sebanyak tiga kali seperti mana pengumuman Bajet 2015 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 10 Oktober lalu.

Pada kali pertama, BR1M sebanyak RM300 akan dibayar pada Januari, kedua, juga RM300 pada Mei dan ketiga sebanyak RM350 pada bulan September.

Kepada penerima yang layak, bantuan itu secara tidak langsung amat melegakan dan mengurangkan beban. Malah, dengan rasionalisasi subsidi bahan api yang akan bermula pada tahun depan dan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang memungkinkan harga barangan meningkat, BR1M diyakini dapat mengurangkan impak dalam kalangan berpendapatan rendah.

Besar ertinya bantuan kewangan yang diberikan kerajaan itu yang asalnya hanya diberi sebanyak RM500 pada 2012 manakala pada tahun hadapan, nilai itu meningkat hampir sekali ganda iaitu RM950.
Terpulang kepada rakyat untuk memanfaatkan bantuan tunai tersebut sama ada untuk menjadikannya sebagai wang perbelanjaan dapur atau pun bagi menampung bebanan di bahagian lain. Malah, ada yang menggunakan wang bantuan tersebut untuk membeli gajet-gajet elektronik, pakaian atau aksesori-aksesori kenderaan. Tidak kurang juga ada yang menggunakan wang itu untuk tujuan liburan.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan dalam Seminar Percukaian Kebangsaan baru-baru ini ada menegaskan bahawa pemberian BR1M ini adalah seperti bantuan ikhlas kerajaan untuk mengisi wang dapur masyarakat berpendapatan rendah.

Katanya, pemberian sebanyak tiga kali sepanjang tahun 2015 sekurang-kurangnya dapat menyediakan perbelanjaan wang dapur selama tiga bulan untuk keluarga yang layak.

“Baki sembilan bulan lagi, terpulang kepada ketua isi rumah untuk terus berusaha untuk menampung keperluan keluarga masing-masing.
“Ini membuktikan kerajaan hanya ingin membantu mengurangkan beban dan bukannya mendorong rakyat untuk menjadi malas,” katanya.

BR1M kali pertama diumumkan semasa penjadualan Bajet Malaysia 2012. Langkah itu adalah sebuah polisi yang disasarkan untuk membantu keluarga yang berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan dengan memberikan wang tunai RM500. BR1M pertama diagihkan kepada 4.2 juta isi rumah pada awal tahun 2012.

Sementara dalam Bajet 2013, polisi ini diteruskan dan juga untuk individu yang berumur 21 tahun ke atas yang berpendapatan bulanan sebanyak RM2,000 ke bawah menerima bantuan sebanyak RM250.

Bajet 2014 pula, kerajaan menaikkan jumlah BR1M kepada RM650 manakala individu bujang menerima bantuan sebanyak RM300. Kerajaan turut memperkenalkan perlindungan insurans i-BR1M dengan nilai RM50 untuk penerima bantuan bagi nilai perlindungan maksimum RM30,000 sekiranya berlaku kematian atau hilang upaya kekal menyeluruh.

Semoga dengan BR1M, rakyat dalam kalangan berpendapatan rendah akan dapat terus dibantu dan berpeluang menikmati kesejahteraan hidup dan meneruskan kelangsungan untuk membangunkan ekonomi negara.

Sumber :
http://www.utusan.com.my/bisnes/ekonomi/br1m-usah-salah-erti-bantuan-kerajaan-1.19916

0 comments:

Post a Comment