Hubungi Kami

Hubungi Kami

Friday 21 November 2014

Bantuan BR1M Besar Maknanya Kepada Kami


KUALA LUMPUR - Tiga tahun lalu S Devi, 39, terpaksa menahan airmata setiap kali perayaan Deepavali menjelma, bukan kerana beliau tidak dapat menyambutnya tetapi kerana melihat anak-anak terpaksa menyarung pakaian raya yang sama setiap tahun.

Kesempitan hidup sebagai ibu tunggal, tidak memungkinkan Devi yang bekerja sebagai pembantu rumah harian menyediakan kehidupan yang selesa untuk beliau tiga beranak, apa lagi menyediakan pakaian baharu ketika musim perayaan.

Namun, sejak kerajaan memperkenalkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) pada 2012, Devi mampu mengukir senyuman kerana sudah mampu menyediakan pakaian baharu kepada anak-anaknya seperti ibu bapa lain.

Beliau menyimpan wang BR1M itu untuk digunakan bagi menyambut Deepavali pada tahun lepas.

"BR1M nampak sikit bagi orang yang mampu, tetapi bagi saya, ia amat besar maknanya, sekurangnya anak saya dapat pakai baju raya dan duit harian dapat disimpan untuk kegunaan yang lebih penting dan kecemasan," katanya kepada Bernama.

Bagi suri rumah, Norhayati Mohamad, 47, pula BR1M banyak membantunya terutama untuk membayar bil elektrik dan air.

"Saya menerima BR1M sejak kali pertama ia diperkenalkan dan bersyukur ada bantuan diberikan kerajaan untuk membantu kenaikan kos sara hidup terutama suri rumah seperti saya," katanya.

Selain isi rumah, BR1M juga amat dihargai oleh Mohd Firdaus Ali, 26, seorang belia yang menggunakan bantuan itu untuk perbelanjaan minyak motosikal ke tempat kerja.

"Walaupun ramai yang seolah-olah tidak menghargai BR1M kerana menerima wang percuma, tapi kalau digunakan sebaiknya, ia banyak membantu, contohnya daripada segi perbelanjaan petrol, saya tidak perlu guna duit gaji," katanya yang merupakan kakitangan swasta.

Bajet 2015 menyediakan peruntukan yang lebih untuk BR1M 4.0 dengan peningkatan jumlah bantuan kewangan bagi semua kategori.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2015 di Dewan Rakyat hari ini berkata bagi isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 ke bawah, kerajaan menaikkan bantuan daripada RM650 kepada RM950.

Bagi isi rumah berpendapatan bulanan antara RM3,000 hingga RM4,000 kerajaan akan meningkatkan kadar BR1M daripada RM450 kepada RM750.

Bagi kategori individu bujang berumur 21 tahun ke atas dan berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan pula, kadar BR1M dinaikkan daripada RM300 kepada RM350.

Sementara itu Dekan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata biarpun menerima kritikan daripada banyak pihak, kerajaan tetap meneruskan bantuan itu tanpa mengenal sempadan politik dan kaum.

"Walaupun kritikan dilontar, kerajaan tetap meneruskan pemberian BR1M dan menaikkan lagi jumlahnya setiap tahun dan langkah itu wajar dipuji dalam usaha meringankan bebanan yang terpaksa ditanggung masyarakat," katanya.

Beliau menyifatkan individu yang menerima BR1M dan kemudian mengkritik kerajaan adalah individu yang tidak bijak dan tidak rasional.

"Jika ada yang merasakan BR1M itu tidak bagus, jangan terima langsung bantuan itu kerana menerima sambil mengkritik bukan nilai murni dalam aspek kemanusiaan," katanya.


Tokoh Sejarawan, Negara Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim pula berpandangan peningkatan jumlah bantuan itu adalah wajar namun berharap kerajaan juga memberi perhatian serius terhadap golongan peniaga yang menaikkan harga barang sesuka hati.

"Misalnya jika harga barang terus melambung tinggi, pemberian BR1M seperti tidak akan memberi impak yang besar kepada penerima, jadi pemantauan harga barang harus seiring supaya BR1M dapat benar-benar memenuhi aspirasi kerajaan untuk bantu rakyat," katanya. - Bernama

0 comments:

Post a Comment